Friday, June 25, 2010

COPD pembunuh senyap

APABILA menyebut mengenai penyakit paru-paru kronik (chronic obstructive pulmonary - COPD) mungkin ramai yang terpinga-pinga malah kemungkinan besar ada yang menganggap ia adalah penyakit yang baru dikenal pasti.

Realitinya COPD adalah penyakit yang kebanyakannya dialami oleh penghisap rokok tegar di seluruh dunia dengan nisbah dua daripada lima perokok akan menderita penyakit ini.

COPD juga penyebab keempat kematian, setanding dengan HIV/AIDS

Kajian yang dijalankan di rantau Asia Pasifik mendapati lelaki yang menghidap penyakit paru-paru kronik berkemungkinan mati lebih awal berbanding wanita yang menghidap penyakit sama.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahyiddin berkata, kesedaran masyarakat kita mengenai bahaya penyakit ini masih rendah.

''Ramai menganggap penyakit ini sekadar batuk-batuk ringan sedangkan ia boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat di peringkat awal.

"Malah ramai yang membuat andaian penyakit ini adalah sesuatu yang mudah sedangkan ia boleh meragut nyawa jika lambat dikesan,'' ujarnya.

Menurut anggaran terbaru Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 210 juta orang sengsara ekoran diserang penyakit ini dan tiga juta orang mati kerana COPD.

Ia dijangka sebagai penyebab utama kepada kematian dan ketidakupayaan akibat masalah penyakit pernafasan menjelang tahun 2020.

Menurut Aziah, COPD hakikatnya sudah menjadi penyumbang kematian yang setaraf dengan HIV/AIDS, penyakit jantung dan kanser.

Menurut laporan WHO, pembunuh senyap ini telah membunuh hampir tiga juta nyawa setiap tahun.

Tegasnya, ia sejenis penyakit yang jarang didiagnos dan menggugat sistem respiratori seseorang secara perlahan-lahan tanpa disedari sehinggalah semuanya sudah terlambat.

''Ia juga menyebabkan pesakit mengalami penderitaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan, seterusnya terdedah kepada risiko maut,'' katanyai.

Terangnya, penyebab utama kepada COPD ialah rokok. Lebih 90 peratus daripada penderita penyakit ini ialah perokok atau bekas perokok.

Punca lain penyakit sekatan pulmonari kronik ini termasuklah persekitaran seperti pencemaran udara atau asap kimia dan juga faktor genetik.

''COPD ialah sejenis penyakit kronik kerana ia kekal untuk tempoh yang sangat lama dengan pelbagai simptom yang kerap. Ia juga dianggap menyekat, kerana ia memberi kesan kepada aliran udara yang melalui paru-paru.

'' Sekatan ini menyebabkan pesakit menderita kerana gangguan pernafasan termasuklah ketika melakukan kerja harian yang mudah," ujarnya.

Tegas Aziah, merokok adalah satu daripada risiko umum COPD. Tabiat tidak sihat itu menyebabkan keradangan saluran pernafasan. Ia menambahkan pengeluaran mukus yang menyebabkan halangan kronik pada saluran pernafasan," jelasnya.

Katanya lagi, ramai di kalangan orang awam masih tidak mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini yang kebiasaannya mempamerkan simptom tidak berbahaya seperti batuk, kesukaran bernafas, keletihan dan peningkatan pengeluaran mukus.

Lebih menggerunkan, jika lima orang merokok, dua daripada mereka berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit ini.

''Jika tidak dirawat, COPD boleh membawa kepada sesak nafas yang teruk ketika melakukan aktiviti seharian sehingga kadang kala untuk memakai baju pun tidak mampu dilakukan oleh pesakit COPD," jelas Aziah.

Beliau berkata, penghidap penyakit COPD kebiasaannya berusia 40 tahun ke atas yang akan mengalami kesukaran bernafas dan batuk berkahak.

''Jangan beranggapan jika anda sudah berhenti merokok sejak usia muda, anda terkecuali menghidap penyakit ini. Sedikit sebanyak kesan merokok pada usia muda akan memberi kesan selepas umur 40 tahun ke atas.

Namun bagi mengurangi simptom COPD dan membenarkan pesakit hidup dengan lebih berkualiti, kaedah COPD Assesment Test (CAT) boleh dilakukan.

Pihaknya menyedari tahap kesedaran mengenai COPD di kalangan rakyat Malaysia amat rendah. Oleh itu, IPR berusaha mendidik orang ramai secara aktif mengenai bahaya penyakit tersebut.

''Kami sedia membantu dan memberikan rawatan tetapi segalanya terpulang kepada tekad pesakit itu sama ada mahu meninggalkan terus tabiat merokok atau sebaliknya,'' tambahnya.

Mencegah lebih baik daripada mengubati, rawat sebelum terlambat :
http://www.biovco.com/?ref=fb

Thursday, June 24, 2010

ISLAM DI JEPUN

Sejarah kedatangan agama Islam ke Jepun - Lagenda, Mitos & Sejarah - CARI Forum - Powered by Discuz!

PENGENALAN ISLAM DI NEGARA JEPUN

-Islam berkembang di Jepun pada tahun 1877 ketika Perang Dunia Kedua melalui hubungan diplomatik negara tersebut dengan Turki.
-Penduduk negara tersebut menganggap Islam sebagai salah satu ajaran agama yang dianuti oleh penduduk di Dunia Barat.
-Pada masa yang sama, kisah tentang kehidupan Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam telah mula diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.
-Tindakan ini telah membantu Islam mendapat tempat di kalangan penduduk Jepun walaupun hanya sebagai ilmu pengetahuan dan sejarah kebudayaan dunia.
-Menurut satu sumber, kini terdapat lebih dari 40 buah masjid dan 100 pertubuhan Islam di seluruh Jepun.

MENGAPA ISLAM MUDAH TERSEBAR DI JEPUN?

-Masyarakat Jepun moden kini tidak lagi mementingkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.
-Majoriti rakyat Jepun beragama Syinto dan Buddha (atau menganut kedua-dua agama tersebut).
-Terdapat juga rakyat Jepun yang menganut ajaran Kristian.
-Kini, hampir kesemua rakyat Jepun daif dalam ilmu keagamaan kerana gaya hidup moden mereka yang mementingkan kehidupan di dunia.
-Akibatnya, ramai masyarakat Jepun berasa hati mereka kosong dan seperti mencari 憇esuatu� dalam hidup mereka.
-Kedatangan Islam ke Jepun telah mengisi kekosongan hati ramai rakyat Jepun dan melengkapi hidup mereka dengan memeluk Islam dengan hati yang terbuka.

BAGAIMANA ISLAM TERSEBAR DI JEPUN?

Islam tersebar di Jepun melalui 2 cara iaitu:-

1) Perkahwinan � terdapat ramai warga asing beragama Islam di Jepun (khususnya lelaki) telah mengahwini wanita tempatan dan mendorong wanita-wanita tersebut memeluk Islam.
2) Dakwah - warga asing beragama Islam yang sudah menetap di Jepun telah melakukan pelbagai aktiviti dakwah dalam usaha untuk menyebarkan ajaran Islam di sana.

SIAPAKAH ORANG JEPUN PERTAMA YANG MEMELUK ISLAM?

Sehingga kini tidak diketahui siapakah warga Jepun yang pertama sekali memeluk Islam. Namun, hasil kajian menunjukkan terdapat tiga orang warga Jepun yang dikenalpasti sebagai warga Jepun terawal yang memeluk Islam.

1. Warga Jepun Muslim pertama yang pernah direkodkan adalah Mitsutaro Takaoka. Beliau telah memeluk Islam pada tahun 1909 dan menukarkan namanya kepada Omar Yamaoka selepas menunaikan haji di Kota Mekah.
2. Pada masa yang sama, seorang rakyat Jepun iaitu Bunpachiro Ariga telah pergi ke India untuk bertugas. Melalui dakwah dari penduduk Islam di sana, beliau telah memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Ahmad Ariga.
3. Walau bagaimanapun, kajian terbaru mendapati terdapat seorang lagi rakyat Jepun yang berkemungkinan merupakan warga Jepun Muslim pertama iaitu Torajiro Yamada. Beliau yang mengunjungi negara Turki kerana bersimpati dengan mangsa korban 憈ragedi kapal karam Ertugrul� telah memeluk Islam di sana. Beliau mengambil nama Abdul Khalil dan dikatakan telah menunaikan haji di Kota Mekah.

BERAPAKAH JUMLAH PENDUDUK ISLAM DI JEPUN?

Sehingga kini, jumlah tepat penduduk Islam di Jepun masih tidak diketahui. Namun begitu, terdapat beberapa sumber yang mendakwa jumlah penduduk Islam di sana adalah sekitar 100,000-1,260,000 orang. Majoriti daripada mereka merupakan rakyat Jepun berketurunan bukan Jepun - kumpulan pendatang yang terdiri dari golongan pekerja atau pelajar yang menetap di Jepun dan sudah mendapat status warganegara tetap.

1) Menurut laman web
http://www.sma-igs.net/population.html, akhbar Japan Times tahun 1997 pernah melaporkan terdapat kira-kira 100,000-150,000 warganegara Jepun yang beragama Islam dan majoriti daripada mereka merupakan keturunan pendatang dari negara-negara Islam yang sudah mendapat status warganegara tetap Jepun.

2) Menurut hasil kajian terbaru 揂n analysis of the World Muslim population by Country / Region� dari laman web http://www.factbook.net/muslim_pop.php, kira-kira 1% atau *1,254,497 orang rakyat Jepun beragama Islam. Dalam jumlah tersebut, rakyat Jepun berketurunan bukan Jepun dari negara-negara Islam merupakan kumpulan majoriti.

3) Laman web http://boinc.mundayweb.com/one/stats.php?userID=4654 pula menunjukkan bahawa daripada jumlah keseluruhan penduduk Tokyo yang seramai 126,000,000 orang, kira-kira lebih dari 200,000 orang penduduknya adalah beragama Islam.

*Jumlah 1,254,497 orang warganegara Jepun-Muslim adalah satu jumlah yang dianggap terlalu besar bagi sesetengah pihak dan dikatakan tidak tepat.

SEJARAH KEDATANGAN KUMPULAN PENDATANG ISLAM KE JEPUN.

- Kebanyakan orang Islam di Jepun merupakan pendatang dari negara-negara Islam seperti Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Pakistan & Iran.
- Mereka datang dan menetap di Jepun pada akhir tahun 1980an iaitu ketika Jepun sedang mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk.
- Ini mendorong ramai pemilik kilang di Jepun untuk mendapatkan kerahan tenaga dari kalangan warga asing.
- Jumlah pekerja Islam ke Jepun pada awalnya adalah sangat kecil tetapi selepas sedekad kemudian, jumlah mereka meningkat secara drastik sebanyak 10 kali ganda.
- Selepas 3 tahun kedatangan mereka ke Jepun, masjid-masjid telah dibina dengan banyaknya dalam & sekitar Bandar Raya Tokyo.
- Setelah lama menetap di Jepun, ramai di kalangan warganegara Jepun Muslim dari keturunan pendatang telah mula mengadaptasikan gaya hidup masyarakat Jepun dan bahasa Jepun dijadikan sebagai bahasa pergaulan seharian.
- Kini, ramai di antara mereka (golongan lelaki) yang telah berkahwin dengan wanita tempatan Jepun & menjadi warganegara tetap Jepun.
- Mereka tidak lagi dianggap sebagai pendatang asing di mata rakyat Jepun yang lainnya dan secara perlahan-lahan mereka diterima menjadi sebahagian masyarakat Jepun.
- Menurut kajian terbaru, bangsa Melayu merupakan komuniti pendatang Islam terbesar di Jepun. Orang-orang Melayu di sana berketurunan Malaysia-Indonesia-Singapura dan mereka hidup sebagai sebuah komuniti kerana adanya persamaan bahasa, budaya dan adat walaupun berlainan negara.

Kedatangan pendatang Islam ke Jepun telah mempengaruhi jumlah penduduk Islam di negara matahari terbit itu. Meskipun majoriti penduduk Islam di Jepun adalah keturunan pendatang Islam tetapi terdapat peningkatan dari segi pengIslaman penduduk asal Jepun itu sendiri.

ISLAM DI JEPUN

Sejarah

Antara 1877 dan Perang Dunia II

Hubungan Islam dengan Jepun adalah agak baru berbanding dengan hubungan agama ini dengan negara-negara yang lain di seluruh dunia.

Tidak terdapat sebarang rekod yang nyata tentang hubungan-hubungan antara agama Islam dengan Jepun atau sebarang kesan sejarah tentang Islam di Jepun melalui penyebaran agama, kecuali beberapa hubungan terpencil antara penduduk-penduduk Jepun dengan orang-orang Muslim dari negara lain sebelum tahun 1868.

Agama Islam diketahui buat pertama kali oleh penduduk-penduduk Jepun pada tahun 1877 sebagai sebahagian pemikiran agama barat dan pada sekitar tahun itu, kehidupan Nabi Muhammad diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Ini membantu agama Islam menempatkan diri dalam pemikiran intelek orang Jepun, tetapi hanya sebagai satu pengetahuan dan sebahagian sejarah budaya-budaya.

Lagi satu hubungan yang penting dibuat pada tahun 1890 ketika Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal yang digelarkan "Ertugrul" ke Jepun untuk tujuan memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta untuk saling memperkenalkan orang Muslim dan orang Jepun. Kapal itu yang membawa 609 orang penumpang dalam pelayaran pulang ke negara mereka tenggelam dengan 540 penumpang mati lemas.

Dua orang Jepun Muslim pertama yang diketahui ialah Mitsutaro Takaoka taro Takaoka yang memeluk Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar Yamaoka selepas menunaikan haji di Mekah, serta Bumpachiro Ariga yang pada masa yang lebih kurang sama telah pergi ke India untuk berniaga dan kemudian memeluk Islam di bawah pengaruh orang-orang Muslim tempatan di sana serta mengambil nama Ahmad Ariga. Bagaimanapun, kajian-kajian akhir-akhir ini telah mendedahkan bahawa lagi seorang Jepun yang dikenali sebagai Torajiro Yamada mungkin merupakan orang Jepun Muslim yang pertama ketika beliau melawat negara Turki disebabkan kasihan terhadap mereka yang maut dalam nahas kapal Ertugrul. Beliau mengambil nama Abdul Khalil dan mungkin pergi ke Mekah untuk naik haji.

Bagaimanapun, kehidupan komuniti Muslim yang benar tidak bermula sehingga ketibaan beratus-ratus pelarian Muslim Turki, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan Tatar Turki yang lain dari Asia Tengah dan Rusia, ekoran daripada Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia I. Orang-orang Muslim ini yang diberikan perlindungan di Jepun menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun dan menubuhkan komuniti-komuniti Muslim yang kecil. Sebilangan orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan mereka dengan orang-orang Muslim ini.

Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil ini, beberapa buah masjid telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada tahun 1935 (masjid ini ialah masjid yang tunggal di Jepun pada hari ini) dan Masjid Tokyo yang dibina pada tahun 1938. Bagaimanapun, orang Jepun Muslim tidak mengambil berat tentang pembinaan masjid-masjid ini dan tidak terdapat sebarang orang Jepun yang pernah menjadi Imam.

Perang Dunia II dan selepas

Masjid Kobe di Kobe, Jepun

Semasa Perang Dunia II, satu "Ledakan Islam" telah dimulakan oleh kerajaan tentera di Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Telah dikatakan bahawa pada tempoh ini, melebihi 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun. Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini sama sekali tidak dikuasai atau dikelolakan oleh orang-orang Muslim dan tujuannya bukan untuk penyebaran Islam. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam dan orang Muslim kerana terdapat komuniti-komuniti Muslim yang besar di kawasan-kawasan yang diduduki oleh angkatan tentera Jepun di negara-negara China dan Asia Tenggara. Oleh itu, dengan penamatan perang pada tahun 1945, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini hilang sama sekali dengan begitu cepat.

Lagi satu "Ledakan Islam" dimulakan, kali ini selepas krisis minyak 1973. Massa media Jepun telah memberi publisiti yang besar tentang Dunia Muslim secara amnya, dan khususnya kepada Dunia Arab, selepas menyedari kepentingan negara-negara ini terhadap ekonomi Jepun. Dengan publisiti ini, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton Haji di Mekah serta untuk mendengar panggilan Azan (panggilan Islam untuk bersembahyang) dan pembacaan al-Quran. Selain daripada banyak orang Jepun yang memeluk Islam dengan jujur ketika itu, terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai yang terdiri daripada berpuluh-puluh ribu orang. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak bertamat, kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.

Orang-orang Turki merupakan komuniti Muslim yang terbesar di Jepun sehingga akhir-akhir ini. Jepun sebelum Perang Dunia II amat dikenali untuk kasihan dan sokongan terhadap orang-orang Muslim di Asia Tengah dan memperlihatkan mereka sebagai sekutu anti Soviet. Pada masa itu, sebilangan orang Jepun yang bertugas dalam lingkungan perisikan mempunyai hubungan dengan orang-orang Muslim itu. Sebilangan perisik Jepun itu kemudian memeluk Islam melalui hubungan-hubungan ini selepas akhir perang.

Juruterbang-juruterbang Jepun yang pergi ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia II diajar mengungkapkan "La ilaha illa Allah" ketika pesawat-pesawat mereka ditembak jatuh di kawasan-kawasan ini supaya mereka tidak dibunuh. Sebuah pesawat Jepun telah dikatakan ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk-penduduk. Apabila juruterbang itu menjeritkan kata-kata "ajaib" itu, dia berasa hairan ketika penduduk-penduduk itu mengubahkan sikap-sikap mereka terhadapnya, dan memperlakukannya dengan baik.

Persatuan Muslim Jepun

Serangan Jepun terhadap China dan negara-negara Asia Tenggara semasa Perang Dunia II menghasilkan hubungan-hubungan antara orang-orang Jepun dengan orang-orang Muslim. Mereka yang memeluk agama Islam melalui hubungan-hubungan itu kemudian mengasaskan Persatuan Jepun Muslim di bawah pimpinan Allahyarham Sadiq Imaizumi pada tahun 1953. Persatuan tersebut ialah pertubuhan Jepun Muslim yang pertama. Bilangan ahlinya sebanyak 65 orang pada masa penubuhan persatuan ini bertambah dua kali ganda sebelum pemimpinnya meninggal dunia enam tahun kemudian.

Presiden kedua persatuan ini ialah Allahyarham Umar Mita. Mita merupakan orang Islam yang tipikal bagi generasi tuanya yang membelajari Islam di wilayah-wilayah yang diduduki oleh Empayar Jepun. Beliau bertugas dengan Syarikat Keretapi Manshu yang hampir menguasai semua kawasan Jepun di wilayah timur laut China ketika itu. Melalui hubungan-hubungannya dengan orang-orang Cina Muslim, beliau memeluk Islam di Beijing. Apabila Mita kembali ke Jepun selepas perang, beliau menunaikan haji, dan merupakan orang Jepun pertama selepas peperangan untuk berbuat demikian. Mita juga menterjemahkan maksud al-Quran dari sudut pandangan orang Muslim dalam bahasa Jepun buat pertama kali.

Oleh itu, hanya selepas Perang Dunia II baru terdapat sebuah komuniti di Jepun yang benar-benar boleh dipanggil "komuniti Jepun Muslim". Walaupun kejayaan permulaan agak memuaskan, perkembangan kemudian dari segi keahlian amat perlahan, dan walaupun terdapat banyak pertubuhan yang diasaskan sejak masa itu, setiap pertubuhan itu hanya mempunyai beberapa ahli yang aktif.

Orang Jepun Muslim

Tidak terdapat anggaran yang boleh dipercayai tentang bilangan orang Jepun Muslim di Jepun. Tuntutan tiga puluh ribu tidak diragui merupakan satu tokok tambah. Sesetengah orang mendakwa bahawa bilangannya hanya dalam beberapa ratus. Ketika ditanya, Abu Bakr Morimoto berjawab, "Bercakap terus terang, hanya seribu. Dalam pengertiannya yang paling umum, jika kita memasukkan mereka yang memeluk Islam tetapi tidak mengamalkan agama ini, umpamanya hanya untuk perkahwinan, bilangannya mungkin dalam beberapa ribu."

Perkembangan yang sebegini perlahan disebabkan sebahagiannya oleh keadaan luar. Suasana keagamaan tradisional Jepun dan kecenderungan yang amat mementingkan kebendaan harus dipertimbangkan. Tetapi terdapat juga kelemahan dari segi orang-orang Islam Jepun sendiri juga. Terdapat perbezaan orientasi antara generasi yang tua dengan generasi yang baru. Bagi generasi yang tua, Islam disamakan dengan agama Malaysia, Indonesia, China, dan sebagainya. Tetapi bagi generasi baru, negara-negara Asia Tenggara tidak begitu menarik hati disebabkan orientasi barat mereka dan oleh itu, mereka lebih dipengaruhi oleh Islam di negara-negara Arab.

"Generasi tua telah hidup dengan rapat dengan orang-orang Muslim bukan orang Jepun," Nur Ad-Din menegaskan. "Ini adalah sesuatu yang cemerlang dalam semangat persaudaraan. Tetapi dari segi yang lain, kita tidak boleh menafikan kesan sampingannya, iaitu, cara hidup ini tidak boleh mengelakkan orang-orang Jepun yang lain daripada berfikir bahawa agama Islam ialah sesuatu yang asing. Bagaimana untuk mengatasi rintangan ini ialah satu masalah yang perlu diatasi. Ini merupakan satu tugas untuk kita, generasi yang lebih muda."

Ketika melawat negara-negara Muslim, kata-kata bahawa orang-orang Muslim Jepun adalah kumpulan agama minoriti sering menimbulkan soalan daripada para hadirin, "Berapakah peratus bilangan orang Muslim di Jepun?" Jawapan ketika ini: "Satu daripada seratus ribu."

Dakwah di Jepun

Sejarah Islam di Jepun mendedahkan beberapa gelombang pemelukan agama yang rawak. Bagaimanapun, kempen-kempen agama baru di Jepun setakat ini tidak begitu berjaya, termasuk agama Kristian. Statistik menunjukkkan bahawa di sekitar 80% daripada jumlah penduduk Jepun adalah penganut Budhisme atau Shintoisme, sedangkan hanya 0.7% merupakan penganut Kristian. Keputusan tinjauan pendapat terkini yang dikendalikan oleh sebuah majalah bulanan Jepun membayangkan satu kaveat yang penting. Hanya satu perempat penduduk-penduduk Jepun mempercayai mana-mana satu agama yang khusus. Ketiadaan kepercayaan ini adalah lagi ketara bagi pemuda-pemudi Jepun yang berumur 20-an dengan kadar ateisme setinggi 85%.

Bilangan pendakwah yang berpotensi dalam komuniti Muslim di Jepun adalah amat kecil, dan terdiri daripada para pelajar dan pelbagai jenis pekerja yang bertumpu di bandaraya-bandaraya besar seperti Hiroshima, Kyoto, Nagoya, Osaka dan Tokyo. Persatuan-persatuan pelajar Muslim dan sebilangan persatuan tempatan sekali sekala mengelolakan perkhemahan dan perhimpunan dalam usaha untuk memperbaik pemahaman ajaran Islam serta untuk mengukuhkan persaudaraan antara orang-orang Muslim. Bagaimanapun, usaha-usaha mereka jarang diuruskan secara teratur untuk mengendalikan kegiatan-kegiatan dakwah dengan berkesan.

Terdapat keperluan yang berterusan untuk orang-orang Muslim bertahan daripada tekanan-tekanan dan godaan-godaan gaya hidup moden yang lebih ghairah. Orang-orang Muslim juga menghadapi kesusahan terhadap komunikasi, perumahan, pendidikan kanak-kanak, makanan halal, serta kesusasteraan Islam, dan kesemua ini menghalang kegiatan-kegiatan dakwah di Jepun.

Tanggungjawab dakwah seringnya dianggap sebagai suatu kewajipan orang-orang Muslim untuk berkhutbah kepada orang bukan Muslim. Bagaimanapun, panggilan yang penting untuk islaah dan tajdeed juga merupakan bentuk-bentuk dakwah yang tersendiri untuk orang-orang Muslim. Usaha untuk pembaikan tahap pengetahuan Islam dan keadaan-keadaan hidup komuniti Muslim adalah satu bentuk dakwah pada dirinya yang amat diperlukan di Jepun. Jika sikap-sikap tidak ambil peduli dan kepasifan penduduk-penduduk Islam di Jepun terhadap persoalan-persolan jemaah Islam tidak bertukar, komuniti-komuniti Islam di Jepun menghadapi risiko pelemahan dan penghapusan melalui putar belit kepercayaan Islam yang akan bertambah teruk. Kemungkinan ini disebabkan oleh pendedahan yang tetap terhadap pengaruh-pengaruh adat resam dan amalan tradisional Jepun, seperti membongkokkan badan sebagai bentuk menyambut, serta penyertaan-penyertaan bersama dalam perayaan-perayaan agama dan lawatan-lawatan kuil.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang Muslim mungkin lebih teruk bagi kanak-kanak Muslim yang, tanpa sebarang tadika atau sekolah Muslim, merupakan sasaran yang mudah untuk dipengaruhi oleh tabiat-tabiat budaya dan sosial yang bukan Islam. Ketiadaan institusi-institusi pendidikan yang bersifat Islam juga dibayangkan oleh fakta bahawa seluruh negara Jepun hanya mempunyai sebuah masjid yang tunggal. Dengan fadhl dari Allah (S.W.T), masjid itu telah bertahan daripada gempa bumi yang hampir memusnahkan seluruh bandar raya Kobe pada 17 Januari 1995. Terdapat usaha-usaha yang tetap untuk membina atau mengubah unit-unit perumahan menjadi surau di banyak bandar raya yang lain.

Tanggapan salah terhadap ajaran Islam yang diperkenalkan oleh media-media barat perlu dibetulkan dengan cara yang lebih cekap dan yang mengambil kira ciri penting masyarakat Jepun sebagai salah satu negara yang paling kenal huruf di dunia. Bagaimanapun, disebabkan taburan orang Muslim yang amat sedikit, terjemahan maksud-maksud al-Quran dalam bahasa Jepun juga tidak mudah didapati. Hampir tidak adanya kesusasteraan Islam di dalam buku-buku kedai atau perpustakaan-perpustakaan awam, kecuali beberapa esei dan buku dalam bahasa Inggeris yang dijual pada harga yang agak tinggi.

Oleh itu, tidaklah mengejutkan untuk mendapati bahawa pengetahuan orang Jepun yang biasa tentang agama Islam hanya dihadkan kepada beberapa istilah yang berkaitan dengan poligami, Sunni dan Shia, Ramadhan, Haj, Nabi Muhammad, dan Allah. Dengan kesan-kesan yang semakin terang tentang kesedaran kewajipan komuniti-komuniti Islam serta penilaian yang rasional terhadap keupayaan dan batasnya, Ummah Muslim telah menunjukkan tanggungan yang lebih kuat terhadap pelaksanaan kegiatan-kegiatan dakwah dengan cara yang lebih teratur.

Imej Islam dirosakkan secara teruk oleh pembunuhan Hitoshi Igarashi di Jepun disebabkan oleh penterjemahan Ayat-ayat Satan (The Satanic Verses) olehnya, Serangan 11 September 2001, dan pengeboman bunuh diri di Palestin, Israel, Bali, Iraq, dan Jordan yang dilakukan di atas nama Islam. Imej Islam juga dirosakkan lagi oleh tanggapan ketakstabilan politik di dunia Arab Rujukan

  • Islam in Japan: It's past, present and future. Islamic Centre Japan, 1980.
  • Arabia, Jilid 5, No. 54. Februari 1986/Jamad al-Awal 1406.

PENGGODA CINTA YANG MALU

Bertemu lagi di hari Jumaat yang penuh barakah dan maghfirah ini. Marilah kita saling doa mendoakan antara satu sama lain agar sama-sama tidak goyah dan mengalah di jalan mujahadah ini. Walau bertongkat dagu, bergalas siku… merangkak, kita akan teruskan bergerak. Kita yakin kebahagiaan bukan sahaja ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan. Sebelum sampai, sudah dinilai.

Umpama sipembunuh yang telah diterima taubatnya (walau telah mengorbankan 100 nyawa) ketika mati dalam perjalanan menunju destinasi hijrah dan taubatnya (satu cerita daripada hadis yang cukup terkenal!). Ingat selalu, Tuhan yang sedang kita berhadapan dengan-Nya ini adalah Allah, yang kasih-sayang-Nya melebih kasih-sayang ibu yang paling mithali!

Seperti kebiasaannya, saya cuma ingin berkongsi. Satu nukilan alam rumahtangga yang biasa-biasa sahaja sifatnya. Sebagai bingkisan hati di pagi Jumaat yang mulia. Pesan saya buat diri dan semua, jadilah…

PENGGODA CINTA YANG MALU

Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rinxdu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!

Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.

Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?

Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.
Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup dengan satu. Hujjah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam, tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita! Poligami bukan untuk maladeni (melayan) nafsu lelaki ini , tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.

Kita tinggalkan lelaki yang bersifat ‘jantan’ itu. Mari kita bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteripun ada salahnya. Selepas sahaja dia bergelar isteri, semuanya menjadi terlalu ‘murah’. Tidak semahal seperti sebelum kahwin dahulu. Malunya sudah kurang. Tidak pandai ‘jual mahal’ untuk mendapat perhatian suami.

Jika dulu puas berlangir, berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga, asyik ‘mendedah aurat’ (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa mengira masa dan tempat. Bila setiap masa terdedah, di mana indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya menggoda suami sendiri?

Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan kecil-kecil. Menguyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya. Sunggup sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin mengurang. Cara duduk, tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya… tidak semerdu, ketawa, ha.. ha.. ha.. berdekah-dekah. Mana hilang malunya?

Jangan terkejut jika kita ‘menjual’ terlalu murah, orang akan meragui kualitinya. Suami akan berhenti ‘memburu’ anda jika anda terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda menjadi terlalu liar atau terlalu mahal… tetapi belajarlah malu-malu seperti mula-mula kahwin dahulu. Insya-Allah, suami anda akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi untuk memikat dan mendapatkan kasih-sayang anda. Biar dia menjadi pemburu cinta mu!

Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran.

Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan dalam bekas yang cantik. Diletakkan dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekali dibuka dan untuk orang yang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika terdedah sentiasa, itu bukan permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan mendorong siisteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan kejelitaannya.

Belajarlah dari bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-sekala… Bulan tidak mengambang setiap malam… kerana dengan mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan menjadi perindu.

Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu juga akan memperindahkan dirinya. Kita tidak akan menyentuh permata dengan tangan yang kotor. Kita tidak akan tega mengusapnya dengan tangan yang berbau. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua. Yang harum perlu ditantang dengan yang harum juga.

Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan perut ‘boroi’, rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah ‘umpannya’ anda akan dapat ‘ikan’ yang begitu juga.

Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yang buruk juga akan datang sebagai balasan. Begitulah juga dengan hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan menarik yang cantik.

Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda berada ditakuk lama juga? Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita sudah ada kemahuan. Kemahuan akan menyebabkan anda memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.

Jadi, bertanyalah dengan diri, mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin, muka simpati dan empati serta senyuman yang ikhlas ketika mula-mula bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?

Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu lazim berlaziman. Jika terangkat iman, terangkatlah juga rasa malu. Sebab itu kata hukama, “bila kau hilang malu lakukanlah segalanya.” Maksudnya, bila rasa malu hilang, kita tidak akan fikir haram dan halal lagi… semuanya dilanggar tanpa segan-silu lagi. Antara ciri isteri yang solehah ialah isteri yang mengekal rasa malunya terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.

Ya, diantara perbezaan insan dengan haiwan, selain insan punya fikiran ialah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga, ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk mencari semula rasa yang malu yang dulu, samalah seperti menyusur semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatik akan ada rasa malu.

Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaannya apabila Sayidina Usman datang menemuyinya. Kenapa? Ini kerana sayidina Usman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan sopan santun dan malunya.

Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya. Justeu, suburlah rasa cinta dalam rumah-tangga dengan menyuburkan semula rasa malu.

TELADAN CINTA KITA

Dia pahlawan yang dimuliakan wajahnya
Dia puteri dari zuriat yang mulia
Ali pewaris keberanian dan kebenaran
Fatimah titipan kesabaran dan kesucian
Persandingan itu…
di pelamin kemiskinan

Fatimah…
Puteri terpuji, isteri teruji,
Suami di medan jihad
Kau bermandi keringat
Jauh-jauh mencari air…di padang pasir
Di sengat sinar mentari
Sedikitpun tidak kau kesali
Untuk suami, kerana Ilahi

Ali…
Pahlawan unggul, ilmuan tersohor,
Syair setajam senjata
Gagah sekukuh kota
Kau kunci gedung nubuwwah
Kau fakir yang pemurah
Kau wira di sebalik selimut hijrah
Berkorban nyawa untuk Rasulullah

Ali & Fatimah…
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi
Lalu diluahkan ketandusan upaya
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi
Untuk menanggung beban keluarga
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya

Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan
Lalu diberikan zikir sebagai gantian
Tiga kalimat sarat keberkatan
Subhannallah, Alhamdulillah, Alllah hu Akbar
Lalu esoknya mereka datang lagi…
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!

Mereka miskin harta tapi kaya jiwa
Sering berpisah tapi tak gundah
Mereka bercinta kerana Allah

Indahnya mempelai di pelamin kemiskinan
Bila bersanding dua kemuliaan..
Seorang lelaki bergelar karamallahuwajjah,
seorang wanita yang az zahrah!

(…Sajak nukilan lama yang telah diangkat menjadi Nasyid)

*Ustaz Pahrol Mohamad Juoi*
Related Posts with Thumbnails